TOKOH NEGARAWAN - Tun Dr Mahathir bin Mohamad


1.    LATAR  BELAKANG TOKOH

Tun Dr Mahathir bin Mohamad telah dilahirkan pada 10 Julai 1925. Dalam buku A Doctor in the House, Dr Mahathir menyatakan tarikh lahir sebenarnya adalah pada 10 Julai 1925, tapi bapanya mendaftarkan tarikh lahir dalam sijil kelahiran sebagai 20 Disember untuk memudahkan urusan pendaftaran persekolahan. Putera kepada pasangan Mohamad bin Iskandar dan Wan Tempawan binti Wan Hanafi ini dilahirkan di rumah bernombor 18, Lorong Kilang Ais, bersebelahan dengan Jalan Pegawai, Seberang Perak, Alor Setar, Kedah.

Beliau merupakan anak bongsu dikalangan sembilan orang adik-beradik. Dr Mahathir memulakan alam persekolahannya di Sekolah Melayu Seberang Perak pada tahun 1930 selama dua tahun. Beliau melanjutkan pengajian menengah di Government English School, Alor Setar yang kini dikenali sebagai Kolej Sultan Abdul Hamid. Beliau tamat dengan keputusan Senior Cambridge yang cemerlang pada tahun 1945.

Dalam tahun 1953, beliau telah dianugerahkan Ijazah Doktor Perubatan (M.B.B.S) dari University of Malaya. Berbekalkan kelulusan berkenaan, Dr. Mahathir telah memulakan perkhidmatannya dalam kerajaan dengan menjadi doktor pelatih di Hospital Besar Pulau Pinang. Pada tahun 1954, Dr. Mahathir telah dilantik sebagai Pegawai Perubatan di Hospital Besar Alor Setar bagi memenuhi kontrak biasiswanya. Beliau juga telah memberikan perkhidmatan perubatan di Langkawi, Jitra dan Perlis.

Perkenalan dengan seorang gadis dari Selangor bernama Siti Hasmah Mohd Ali (kini Tun Dr. Siti Hasmah) yang mengikuti bidang pengajian yang sama di King Edward VII Collage of Medicene berlanjutan sehingga mereka menamatkan pengajian masing-masing. Hubungan erat yang terjalin semasa di Singapura telah diakrabkan lagi setelah kedua-duanya diijabkabulkan sebagai suami isteri pada Ogos 1956.
  
Pada tahun 1957, setelah tamat kontraknya dengan kerajaan, Dr. Mahathir dengan bantuan dan kerjasama Dr. Siti Hasmah telah membuka klinik persendirian yang bernama Klinik MAHA, di Jalan Tunku Ibrahim, Alor Setar. Klinik MAHA merupakan klinik melayu pertama di negeri Kedah. Selain daripada perkhidmatan perubatan, klinik MAHA juga telah menjadi pentas untuk beliau menjalankan aktiviti-aktiviti perkhidmatan komuniti setempat. Keperihatinan beliau terhadap masalah ekonomi dan politik Melayu telah diluahkan dalam bentuk rencana-rencana yang diterbitkan oleh Sunday Times di bawah nama pena ‘C.H.E Det’ antara tahun 1946-1950.

Penulisan merupakan satu dari minat Dr. Mahathir hinggalah ke hari ini. Pada tahun 1945, semasa beliau masih dibangku sekolah, Dr. Mahathir telah menjadi penyunting Darulaman, majalah rasmi keluaran Kolej Sultan Abdul Hamid.

Selain itu beliau juga berkhidmat sebagai penyunting sebuah majalah yang diterbitkan oleh kolej perubatan di mana beliau menuntut. Kegigihan dan semangat untuk menyuarakan pendapat melalui penulisan telah menyebabkan beliau menghasilkan pelbagai jenis penerbitan termasuklah buku “Dilema Melayu” yang diterbitkan dalam tahun 1970.

Selain daripada menulis, Dr. Mahathir juga merupakan seorang yang rajin membaca dan berpegang teguh kepada prinsip bahawa pembelajaran adalah proses seumur hidup. Tuntutan professional dan politik juga tidak menghalang beliau untuk menjadikan seni pertukangan kayu sebagai satu hobi.

Dr. Mahathir dikenali sebagai seorang yang kreatif dan pernah mengikuti kursus pertukangan kayu di Great Britain untuk mempertingkatkan tahap kemahiran beliau. Dalam tahun 1989, berdasarkan minat yang berterusan dalam bidang ini, Dr. Mahathir telah dianugerahkan Honorary Freedon of the Worshipful Company of Carpenters oleh British Carpenters Society. Penglibatan Dr. Mahathir di dalam arena politik tidak begitu ketara dalam tahun-tahun 1950an disebabkan beliau masih menuntut di Universiti. Walau bagaimanapun, beliau terus menulis esei dan komentar mengenai isu-isu sosio-politik negara di akhbar The Straits Times. Perletakan jawatan sebagai doktor kerajaan membolehkan Dr. Mahathir bergiat semula di dalam bidang politik. Beliau telah dipilih untuk bertanding pada pilihanraya negeri tahun 1959, tetapi menolaknya.

Semasa pilihanraya umum tahun 1964, Dr. Mahathir diberi kepercayaan menjadi calon dan seterusnya berjaya memenangi kerusi Parlimen Kota Setar di atas tiket Parti Perikatan. Bermula dari sinilah beliau menempa nama di kalangan masyarakat dan senario politik negara.

Pada 10 Julai,1981 Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri Malaysia yang keempat, dan lapan hari selepas itu sebagai Menteri Pertahanan. Pada 31 Oktober, 2003, Dr Mahathir bersara dan menamakan timbalannya, Datuk Seri Abdullah Badawi sebagai penggantinya.

Dr Mahathir mengisytiharkan keluar daripada UMNO pada 19 Mei 2008 dalam satu ceramah di Alor Setar, Kedah kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi. Bagaimanapun dalam Perhimpunan Agung UMNO 2008 pada Mac 2009, Dr Mahathir menghadiri hari terakhir perhimpunan itu sebagai jemputan. Dr Mahathir kembali menyertai UMNO. Nombor ahli 0000001 dikekalkan.

Dr. Mahathir digelar “Bapa Permodenan Malaysia” dan merupakan pemimpin yang paling lama memegang jawatan sebagai Perdana Menteri, iaitu dari 16 Julai 1981 hingga 31 Oktober 2003 kerana berjaya membangunkan Malaysia menjadi sebuah negara industri baru yang disegani di kalangan negara-negara membangun.

Tempoh 22 tahun sebagai Perdana Menteri menjadikan beliau sebagai pemimpin kedua paling lama yang memegang jawatan tersebut di Asia Tenggara selepas Presiden Suharto dari Indonesia. Dr. Mahathir bersara pada Oktober 2003 dan dianugerahkan Darjah Kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara yang membawa gelaran Tun.

Sepanjang 22 tahun beliau memegang jawatan pentadbiran tertinggi negara, banyak kemajuan dan pembangunan yang telah beliau rancang dan laksanakan. Walaupun kadang kala cetusan idea dan wawasan beliau kurang difahami, namun hakikatnya beliau merupakan seorang yang berpandangan jauh dan terkehadapan, malah lebih jauh daripada pemikiran orang Melayu khususnya.

2.    PEMIKIRAN KRITIS OLEH TUN DR. MAHATHIR

Tidak pernah lekang dengan hasil cetusan idea yang segar dan berani yang kadang-kadang ’melawan arus’ cukup membuktikan anak jati Alor Setar, Kedah ini selayaknya berada di tempatnya saat itu.  Dek kerana itulah beliau telah digelar sebagai Pencetus Minda Malaysia kerana sering tampil dengan ilham baru yang melangkaui zamannya dalam memahat nama Malaysia di setiap pelosok benua.
Berbekalkan daya intelektual yang tinggi dan bersandarkan kepada pemikiran strategi yang dimiliki beliau terus memacu negara Malaysia ke arah negara maju. Menara Berkembar Petronas, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan idea Wawasan 2020 merupakan bukti penting bahawa idea bernas mantan Perdana Menteri Malaysia ini sangat berharga.

Beliau juga sering kali diminta untuk menyumbang pendapat dan cadangan dalam menyelesaikan masalah-masalah yang timbul di negara ini. Kreativiti dan inovasi hasil daripada pemikiran beliau ini telah membantu dalam menggerakkan kerancakan pertumbuhan ekonomi, politik dan sosial negara Malaysia.

Semenjak Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri pada 16 Julai 1981, banyak perubahan terjadi kepada rakyat dan negara. Kebanyakan perubahan ini cukup mengejutkan. Ada orang yang memandang perubahan ini dengan pandangan yang cukup positif. Perubahan ini dianggap cukup kreatif, inovatif, memikirkan perkara yang tidak terfikir, menjadikan kenyataan terhadap perkara mustahil dan sebagainya. Pada mereka perubahan yang memanfaatkan hal-hal ini memang cukup wajar demi kemajuan dan kelangsungan hidup negara.

Begitulah perubahan dalam keadaan apa pun diterima secara pro dan kontra. Yang penting dan yang harus dipastikan ialah perubahan itu dapat dinikmati oleh rakyat dan negara. Dr. Mahathir berhasil membuktikan perubahan yang dibawanya dapat memanfaatkan negara walaupun beliau menerima kritikan yang cukup hebat.


3.    Ekonomi
Pada tahun 1997, majalah Asiaweek telah menamakan Dr. Mahathir sebagai antara 50 individu yang paling berkuasa di Asia, dimana beliau menduduki tempat kedua dalam senarai yang dikeluarkan oleh majalah tersebut.

Penamanaan beliau memang tepat kerana ekonomi dunia ketika itu berada dalam kegawatan manakala krisis matawang melanda kebanyakan negara di dunia terutamanya negara-negara Asia seperti Indonesia, Thailand dan Filipina.

Tun Dr. Mahathir berjaya mengawal kegawatan ekonomi dengan menambat ringgit kepada dollar Amerika, satu pendekatan yang mendapat kritikan yang hebat pada mulanya oleh badan kewangan dunia seperti Bank Dunia dan International Monetary Fund (IMF).

Kesannya daripada penyelesaian masalah yang dilakukan oleh beliau, Malaysia adalah satu-satunya negara yang berjaya melepaskan diri daripada dibelenggu kegawatan ekonomi tanpa perlu mengikat diri kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh IMF seperti yang berlaku kepada negara-negara lain di Asia. Malah pengurus besar IMF, Horst Kohler pernah memuji tindakan yang diambil oleh Tun Dr. Mahathir dalam mengawal matawang negara.

Kedudukan beliau sebagai Chief Executive Officer (CEO) Malaysia adalah sesuai dan tepat dengan visi yang beliau rancang dan sasarkan. Beliau telah mengubah sektor ekonomi asas negara daripada sebuah negara yang berasaskan pertanian kepada sebuah negara yang berasaskan perindustrian.

Detik-detik awal beliau diamanahkan menjadi Perdana Menteri Malaysia, sektor ekonomi negara pada ketika itu banyak bergantung kepada bahan komoditi utama seperti getah, kelapa sawit, timah dan industry petroleum yang masih diusahakan secara kecil-kecilan.
Memandangkan komoditi tidak dapat membantu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, maka pada awal tahun 1980-an beliau telah membuat keputusan untuk mempelbagaikan kegiatan ekonomi negara dan sekaligus mengurangkan pergantungan terhadap bahan komoditi.

Keputusan yang beliau ambil adalah tepat kerana pada pertengahan tahun 1980-an, harga bahan-bahan komoditi jatuh dengan teruk. Hal ini ditambah pula dengan peningkatan harga matawang Yen yang menyebabkan berlaku kegawatan ekonomi selama beberapa tahun.

Kini, kebergantungan ekonomi negara terhadap bidang perindustrian begitu ketara apabila sektor perkilangan membentuk 30% daripada asas ekonomi negara manakala sektor pertanian menurun kepada 8% sahaja berbanding 23% kira-kira 22 tahun lalu.  Kebijaksanaan Tun Dr. Mahathir dalam menyelesaikan krisis ekonomi negara sangat membuka mata seluruh pelosok dunia.

4.    Pendidikan
Selepas Tun Dr Mahathir berjaya memenangi kerusi Parlimen Kubang Pasu dengan menang tanpa bertanding di dalam Pilihan Raya Umum 1974, [34] beliau telah mendapat tempat di dalam barisan kabinet Allahyarham Tun Abdul Razak. Beliau telah dilantik sebagai Menteri Pelajaran pada 6 Oktober 1974.

Semasa menjadi Menteri Pelajaran, beberapa perubahan telah dibuat iaitu tindakan pertama beliau selaku Menteri ketika itu telah mengubah dasar pendidikan negara dengan melaksanakan usaha-usaha untuk membasmi dan menghapuskan kemiskinan dan mewujudkan keadilan kepada semua.

Tindakan kedua beliau ialah meminda Akta Universiti dan Kolej 1974 dengan meletakkan pentadbiran universiti secara langsung di bawah Kementerian Pelajaran. Beliau telah mendapat banyak tentangan serta halangan daripada ahli akademik dan mereka yang terlibat di dalam pendidikan, namun beliau tetap dengan segala tindakan yang dilakukannya dan telah berjaya melenyapkan segala kritikan-kritikan terhadap dasar-dasar pendidikannya.

Selain itu keperhatinan Tun Dr Mahathir Mohamad tentang pendidikan orang-orang Melayu dan golongan wanita adalah sangat tinggi.  Daripada 6 tulisan beliau di The Straits Times adalah menyentuh tentang pendidikan orang Melayu di peringkat menengah Inggeris dan pendidikan universiti di kalangan anak-anak Melayu dan juga wanita Melayu.

Tun Dr Mahathir seterusnya telah merujuk kepada kejayaan negara maju seperti Amerika dan Australia yang mana telah membangunkan sistem pendidikan negara masing-masing dengan jayanya iaitu dengan adanya satu bahasa yang menyatukan rakyat Amerika dan Australia iaitu penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar dan ejen perpaduan. Menurut Tun Dr Mahathir:

“Bahasa pengantar sangatlah penting dalam membentuk perasaan bersatu. Oleh itu bahasa pengantar lazimnya adalah bahasa kaum yang tetap. Memang sesiapa pun tidak terlintas untuk menuntut supaya bahasa pendatang-pendatang baru dijadikan bahasa pengantar”.

Dengan ini dapatlah disimpulkan bahawa semasa beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-4, bahasa Melayu telah diangkat menjadi bahasa kebangsaan dan juga bahasa pengantar di sekolah-sekolah di seluruh negara.

Selain itu, Dasar Pandang Ke Timur telah diumumkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada 8hb. Februari 1982 semasa Persidangan "5th Joint Annual Conference of MAJECA/JAMECA" di Hilton Kuala Lumpur. Dasar ini bermakna, pihak kerajaan akan membuat pengkajian, penelitian dan pemilihan terhadap contoh-contoh dan teladan yang terbaik daripada negara Jepun dan Korea dengan mengubahsuaikannya dengan keadaan-keadaan di Malaysia.

Adalah tidak tepat jika Dasar Pandang Ke Timur ditakrif sebagai mengambil apa sahaja dari Jepun dan Korea untuk dipraktik di Malaysia dan mengenepikan teladan yang boleh dipelajari dari negara-negara Barat.

Tumpuan pandangan Tun Dr Mahathir Mohamad ke atas contoh-contoh yang harus di pelajari oleh rakyat Malaysia ialah dari segi kemajuan Jepun dan Korea Selatan  dari segi ekonomi, pendidikan, kesenian dan kebudayaan. Ini kerana kemajuan kedua-dua negara ini adalah dipacu oleh kecekapan, kesungguhan, nilai-nilai estetika, rajin, setia, hormat menghormati, menepati masa yang tinggi dalam cara hidup dan berorganisasi masyarakat Jepun.

Oleh itu, pendidikan untuk memanfaatkan pengalaman Jepun telahpun dibuat secara total cultural immersion. Mata pelajaran Bahasa Jepun dijadikan sebagai bahasa pilihan dalam kurikulum sekolah menengah. Di samping itu dilaksanakan juga pelbagai program susulan di antaranya ialah program kemahiran, kursus-kursus jangka pendek dan program pertukaran pelajar di antara kedua-dua negara.

Kesannya daripada Dasar Pandang ke Timur ini telah membawa perubahan yang positif  telah menyediakan tenaga kerja yang berdaya saing dari aspek kerajinan dan disiplin bekerja, kesetiaan kepada negara dan perusahaan atau perniagaan di mana pekerja bekerja, keutamaan kepada kumpulan dan tidak mementingkan diri sendiri, memberi fokus kepada daya pengeluaran (produktiviti) dan mutu yang tinggi (kualiti).

Selain itu peningkatan kecekapan, pengurangan perbezaan dan perpisahan antara eksekutif dan pekerja am dalam sistem pengurusan yang menitikberatkan kejayaan jangka panjang dan tidak semata-mata memberi peningkatan dividen atau pendapatan kakitangan dalam jangka pendek, dan lain-lain lagi yang dipercayai boleh menyumbangkan kepada kemajuan bagi negara kita.

5.    Teknologi

Dr. Mahathir seorang yang berpandangan jauh, beliau bukan saja mempelajari dan memiliki komputer di pejabatnya, tetapi beliau juga mahu rakyat Malaysia menguasai teknologi komputer. Pada tahun 1997, Dr. Mahathir memperkenalkan 'Koridor Raya Multimedia (MSC)' yang telah menjadikan Malaysia pusat pelaburan dan eksperimen pembangunan prasarana multimedia yang terunggul di dunia.

MSC telah menggabungkan semua ruanglingkup industri teknologi maklumat dalam sebuah persekitaran yang khusus buatnya. Sehubungan itu sebuah bandar ultra-tekno 'Cyberjaya' telah dibina dengan harapan MSC bakal menjadi satu-satunya bandar siber dunia. Gagasan MSC telah menempatkan kerajaan e-elektronik dan universiti multimedia serta menjadi pemangkin kepada perlaksanaan sekolah bestari, tele-perubatan, kad pintar, pusat pemasaran tanpa bersempadanan serta pusat pengeluar web sedunia.

6.    Teknologi Kenderaan Bermotor

Selepas Tun Dr Mahathir mengambil alih tampok pemerintahan negara, beliau telah melancarkan Proton Saga merupakan model pertama keluaran syarikat automotif pertama Malaysia iaitu PROTON, berasaskan model Mitsubishi Lancer Fiore. Ia dibangunkan buat pertama kali di Shah Alam pada bulan September 1985. Pada tahun yang sama Tun Dr Mahathir Mohamad telah merasmikan Jambatan Pulau Pinang pada September 1985 dengan menaiki Proton Saga yang menghubungkan Seberang Perai dan Pulau Pinang.

Perodua adalah syarikat kereta Malaysia yang kedua selepas Proton. Dilancarkan pada 27 Ogos 1994, kilangnya terletak di tapak seluas 80 hektar di Sungai Choh, Serendah, Selangor. Nama Perodua merupakan singkatan untuk "Perusahaan Otomobil Kedua".

Ketika beliau cuba menghasilkan projek kereta nasional seperti Proton Saga dan Kancil, terlebih dahulu beliau berfikir secara strategik. Beliau terlebih dulu akan membaca laporan mengenai kekuatan-kelemahan kereta yang dihasilkan di Barat.

Kedua adalah menganalisis sedalam-dalamnya peralatan sesebuah kereta, misalnya (komponen enjinnya dan banyak lagi hal yang berkaitan dengan kereta) dan ketiga adalah meminta diadakan taklimat mengenai kereta bukan di bilik pendingin hawa, tetapi di kilang kereta itu sendiri (di Jepun) supaya beliau dapat melihat sendiri cara kereta Jepun dibuat.

Dengan pemikiran strategik dan kritis ini, maka lahirlah idea membuat kereta tempatan. Maka, lahirlah Proton Saga, Kancil dan Rusa yang sesuai dengan cita rasa setempat.

Tun Dr Mahathir mensifatkan bahawa kejayaan yang dicapai oleh PROTON dan PERODUA membolehkan negara menyediakan kenderaan mampu milik oleh ramai penduduk Malaysia. Bilangan permintaan yang banyak dari penduduk Malaysia membolehkan kedua-dua syarikat kenderaan nasional itu membangunkan komponen kenderaan dengan rangkaian jualan seluruh negara disamping keupayaan penyelidikan bagi kenderaan penumpang.

Tidak cukup dengan dengan membuat kereta, beliau juga menggerakkan projek litar Formula 1 yang bakal menjadikan Malaysia salah satu destinasi Grand Prix dunia yang mana Negara juga menaja pasukan formula 1 Stewart. Pada tahun 1993 Malaysia terlibat dalam bidang pengeluaran pesawat terbang ringan 'Eagles X-TS'.

Belum sempat rakyat mengejar teknologi negara di jalan raya, beliau telah membawa negara ke angkasa lepas. Beliau mengasaskan Pusat Kajian Sains Angkasa Lepas dan impiannya terserlah dengan terbinanya Planetarium Negara yang dilancarkan pada tahun 1994. Sehubungan itu beliau telah mengilhamkan agar Malaysia mempunyai satelitnya sendiri. Ini menjadi kenyataan apabila tirai tahun 1995 ditutup dengan pelancaran MEASAT 1 dan disusuli dengan MEASAT 2 pada Oktober 1996.

7.    Pembangunan Negara
Dalam tahun 1996 Dr. Mahathir melihat satu lagi impiannya menjadi kenyataan apabila struktur tertinggi di Malaysia menjadi kenyataan. Menara Kuala Lumpur yang menempatkan pusat transmisi TV dan telefon selular merupakan manara konkrit yang tertinggi di dunia dan semestinya mercu tanda ibukota yang paling bergaya dengan ketinggian 451.9 m. Menara ini juga menara telekomunikasi yang ketiga tertinggi di dunia Rekod Malaysia tidak bernoktah di situ sahaja.

Dr Mahathir juga mengilhamkan 'Kuala Lumpur City Centre (KLCC) yakni projek hartanah yang terbesar di dunia dengan nilai RM 2bil. Bangunan ini merupakan bangunan tertinggi di dunia hingga selesai pembinaannya dengan 88 tingkat menara berkembar di atas lokasi seluas 40 hektar.

Meskipun beberapa sudut dunia bakal menampilkan bangunan yang lebih tinggi, namun rekod ini akan kekal sebagai menara 'berkembar' yang tertinggi di dunia bagi abad ke dua puluh dan juga untuk buat beberapa tahun yang akan datang.

Malaysia pada tahun 2002 dijangkakan mempunyai sebuah empayar hidroelektrik baru iaitu Empangan Bakun, sebuah projek mega yang bernilai RM20bil. di Sarawak. Tidak syak lagi, projek ini yang telah diistiharkan sebagai 'projek negara' merupakan projek prasarana yang terbesar di Malaysia dan bakal dipeta sebagai empangan yang terbesar di Asia.

Menyedari bahawa industri penerbangan awam bukan hanya memerlukan pesawat terbang canggih tetapi juga lapangan terbang yang serba boleh, Dr. Mahathir telah menukar kawasan ladang di Sepang kepada tapak Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Lapangan terbang ini akan tampil sebagai yang tercanggih di rantau ini dengan nilai RM9 bil. Apabila siap sepenuhnya, ia akan dapat menampung perjalanan 100 juta penumpang setahun dan pastinya menjadikan Penerbangan Malaysia (MAS) antara yang paling kompetitif di dunia.

Dr. Mahathir bukan hanya berusaha membangunkan Malaysia tetapi beliau juga berusaha membangunkan negara-negara dunia ketiga yang lain. Beliau menggalakkan syarikat-syarikat Malaysia melabur ke negara-negara yang memerlukan pelaburan serta menghulurkan bantuan teknikal kepada negara-negara yang ketandusan kepakaran.

Kini Malaysia merupakan pelabur terbesar Kemboja dengan RM1bil. Yang kedua terbesar di Vietnam dengan nilai pelaburan berjumlah RM559 disamping membuat kehadirannya sangat dirasai di Myanmar, Afrika Selatan, Zimbabwe dan Maldives.
Tidak kira apa gagasannya, negara membangun, negara dunia ketiga, negara kecil atau negara miskin, beliau dengan berani menyuarakan masalah mereka dalam forum-forum antarabangsa serta menyelar negara-negara maju yang tidak ikhlas membantu malah menindas dengan prejudis.

Pandangannya yang kritis tetapi nyata, telah menjadikan beliau jurucakap kepada negara-negara dunia ketiga dan pembela agama Islam yang konsisten. Malaysia mampu berbuat demikian kerana Malaysia "Merdeka' bukan sahaja dari segi politik tetapi juga ekonomi dan yang lebih penting - dari segi spiritualnya.

8.    Lain-Lain
Selain dari sudut ekonomi, pembangunan dan teknologi, terdapat banyak lagi isu yang membawa kepada pemikiran kritis Tun Dr. Mahathir. Antaranya adalah ketika negara berura-ura membeli kapal terbang pejuang supersonik MiG-29 buatan Russia. Terlebih dulu Dr Mahathir membaca komen mengenai kekuatan dan kelemahan MiG-29.

Ketika pameran LIMA di Langkawi, Dr. Mahathir meneliti, menganalisis kekuatan dan kelemahan pesawat itu. Beliau bertanya kepada penganjur antarabangsa LIMA mengenai hal teknikal yang relevan dengan MiG-29. Pertanyaan ini menyebabkan penganjur mengetahui bahawa Dr Mahathir benar-benar mengetahui seluruh aspek.

Selain itu, bagaimana Dr. Mahathir menggunakan pemikiran kritisnya untuk menumpaskan hujah dan tohmahan George W. Bush (ketika itu Presiden Amerika) terhadap Malaysia pada Sidang Bumi di Rio de Janerio, Brazil.

Hujah Bush adalah Malaysia menebang balak. Oleh itu, Malaysia kekurangan hutan dan menyebabkan terjadinya pencemaran alam. Ertinya Malaysia menyumbang kepada terjadinya pencemaran alam secara berleluasa. Hujah balas Dr Mahathir pula negara manakah yang lebih banyak menyumbang kepada pencemaran udara/alam. Malaysia atau Amerika?

Secara nyata Dr Mahathir mengemukakan fakta mengenai begitu banyak kereta di Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan asapnya. Malah, kilang di Amerika Syarikat juga mengeluarkan asap yang banyak dan tidak terkawal. Asap daripada kenderaan dan kilang menyerap ke dalam udara Eropah malah angin yang bertiup membawa pencemaran itu ke negara Asia. Ertinya negara-negara Asia ikut mendapat kesan daripada pencemaran asap yang dimulakan di Amerika Syarikat. Malah, Malaysia juga ikut tercemar akibat pencemaran alam buatan Amerika.

Sebaliknya meskipun Malaysia menebang balak tetapi penebangan ini hanyalah untuk tujuan pembangunan. Malaysia mengusahakan cara yang terbaik untuk mengawal usaha pembangunan ini supaya tidak berlaku pencemaran alam yang teruk. Jadi negara manakah yang sebenarnya yang mencemarkan alam ini?

Berdasarkan kebolehannya menggunakan pemikiran strategiknya, dunia yang sebelum ini cuba menuding jari kepada Malaysia akhirnya berpusing balik kepada Amerika dan menyedari kesalahannya.

Satu contoh pemikiran kritis beliau adalah pemikiran yang beliau manfaatkan apabila beliau menyerang George Soros, spekulator mata wang antarabangsa. Dr Mahathir menganggap Soros sebagai penyangak mata wang.

Menyanggah Soros, pengarang buku The Crisis Of Global Capitalism apalagi tokoh kewangan dunia adalah suatu risiko terhadap Dr Mahathir. Sebelum ini tiada pemimpin dunia yang berani menentang Soros apa lagi pemimpin negara-negara Asia. Tetapi Dr. Mahathir melakukannya dengan berani dan berisiko.
Kata Musashi "apabila seseorang mengerti kegunaan senjata, maka ia dapat menggunakan setiap senjata dengan waktu dan keadaan." Saya percaya konsep dan senjata ini digunakan dengan berkesan oleh Dr Mahathir untuk menewaskan musuh-musuhnya sehingga mereka tertiarap dan tidak dapat bangun lagi. Kesimpulannya Musashi memanfaatkan kelemahan musuh dan kekuatan diri sendiri.

9.    KESIMPULAN
Kesimpulannya adalah kita dapat lihat bahawa Tun Dr Mahathir sangat berbeza berbanding dengan 3 Perdana Menteri Malaysia yang lepas yang mana masing-masing mendapat pendidikan dan pendedahan daripada luar negara. Tun Dr Mahathir Mohamad benar-benar menunjukkan contoh tauladan dengan beliau sendiri adalah seorang graduan tempatan telah berjaya untuk memimpin Malaysia ke tahap yang sekarang.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, memiliki sekurang-kurangnya tiga kebolehan pemikiran strategik seperti yang digariskan itu. Malah, ada orang mengatakan beliau memiliki lebih daripada tiga kebolehan berfikir secara strategik.

Persoalannya bukanlah jumlah kebolehan yang dimilikinya, tetapi kemampuan menterjemah kemampuan berfikir secara strategik yang sedia dimilikinya dalam bentuk tindakan yang memanfaatkan negara. Pemikiran boleh saja ketinggalan zaman atau boleh saja maju bergantung kepada cara orang menggunakannya. Dr Mahathir cenderung menggunakan pemikiran untuk memajukan rakyat dan negara.

Gaya berfikir beliau yang memanfaatkan pemikiran rentas berani (breakthrough thinking) dan pemikiran berisiko (risk thinking). Pemikiran rentas berani bukan saja memerlukan kekuatan pemikiran kreatif malah keberanian melaksanakan idea kreatif dengan kekuatan luar biasa.

Peranan dan sumbangan Tun Dr Mahathir Mohamad kepada masyarakat Melayu dalam era 1981 – 2002 dalam bidang pendidikan memang besar dan jasanya hanya Allah SWT sahaja yang membalas. Di doakan Tun Dr Mahathir Mohamad mendapat nikmat kesihatan yang baik.
                        

RUJUKAN

Den, H. (2014, June). Biodata Tokoh: Tun Dr Mahathir Mohamadhttp://www.klinikmotivasi.com/blog/biodata-tokoh-tun-dr-mahathir- mohamad/

Ensiklopedia Dr Mahathir bin Mohamad, Perdana Menteri Malaysia, Jilid 7. (2006). Darulfikir, Kuala Lumpur: Sains Teknologi dan Hak Asasi Manusia.

Perdana Menteri Malaysia - Tun Dr Mahathir Mohammad. (2009, April). http://perdana-menteri-malaysia.blogspot.com/2009/04/tun-dr-mahathir-bin-mohammad.html

No comments:

Post a Comment

Blog Peribadi Rashidi Nasaruddin | Copyright © 2013. Powered By Mr.Nice.Guyz - All Rights Reserved