1. PENGENALAN
Dasar atau kadangkala
disebut polisi ialah suatu garis panduan pentadbiran atau pegangan mengenai
sesuatu idea atau gagasan yang tersusun rapi. Garis panduan pentadbiran ini
merangkumi segala arahan, peraturan dan pedoman sebagai landasan dalam
melaksanakan cita-cita yang terkandung di dalamnya demi mencapai matlamat
kepimpinan negara ke arah sebuah negara yang gemilang dan maju. Pada umumnya
dasar yang dibentuk oleh kerajaan mempunyai objektif, strategi pelaksanaan dan
penilaian terhadap keberkesanannya. Ia boleh menjadi panduan pentadbiran kepada
kerajaan untuk mengatasi masalah yang wujud dalam sesebuah negara.
Negara yang tidak mempunyai
dasar-dasar tertentu akan kelihatan pincang dan sukar bagi pemimpinnya mentadbir
atau merancang pembangunan. Dengan kata lain, pembangunan sukar dilaksanakan
tanpa adanya dasar yang menjadi asas atau tapak yang kukuh. Selain itu, dasar
amat penting dibentuk dan dilaksanakan oleh kerajaan bagi menangani pelbagai
masalah yang timbul ekoran kesan peninggalan penjajah. Keperluan dasar selain
pembangunan ialah mengatasi masalah ketidakseimbangan yang wujud di dalam
masyarakat dan ini dapat menjamin kebajikan dan kesejahteraan masyarakat.
Sebenarnya, dasar-dasar dibentuk bukan sahaja oleh negara-negara maju sahaja,
bahkan yang lebih penting lagi bagi negara yang sedang membangun seperti
Malaysia. Proses merancang, menganalisis dan mengadakan perubahan demi
perubahan terhadap dasar-dasar yang sedia ada di samping membuat dasar-dasar
baru yang bersesuaian dengan hasrat mewujudkan sebuah negara maju menjelang
tahun 2020 masih diteruskan sehingga kini.
2. LATAR
BELAKANG DASAR-DASAR KERAJAAN
Sejak negara mencapai
kemerdekaan, kerajaan telah menitikberatkan usaha untuk melaksanakan
pembangunan dengan lebih sistematik bagi memperbaiki taraf hidup semua kaum.
Pembangunan negara merangkumi beberapa bidang seperti ekonomi, sosial dan
sebagainya. Dalam konteks masyarakat berbilang kaum, kerajaan telah menggubal
pelbagai dasar pembangunan bertujuan untuk mencapai perpaduan negara bagi
mengatasi masalah ketidakseimbangan ekonomi yang timbul akibat daripada dasar
penjajahan British. Walau bagaimanapun apabila tercetusnya Tragedi 13 Mei pada
tahun 1969, kerajaan telah mengambil langkah menilai semula dan memperbaharui
strategi-strategi tertentu untuk mengatasi masalah ketidakseimbangan yang wujud
ketika itu. Tragedi 13 Mei juga memberi pengajaran pahit kepada negara dan
menunjukkan bahawa seruan-seruan berasaskan isu-isu dan perasaan perkauman yang
tidak terbatas dan keterlaluan boleh mengancam keamanan dan kestabilan negara.
2.1. Dasar-Dasar
Sebelum Merdeka
Penjajahan Inggeris di
negara kita telah meninggalkan pelbagai kesan dan pengaruh yang besar khususnya
terhadap perkembangan, ekonomi, pentadbiran, pendidikan dan hubungan kaum. Dari
perspektif ekonomi, pada dasarnya pihak Inggeris telah memperkenalkan dan
mengembangkan sistem ekonomi yang liberal dan menjalankan dasar pecah dan
perintah. Bagi mencapai matlamat penjajahan segala dasar dan rancangan ekonomi
adalah ditumpukan kepada usaha-usaha mengeksploitasi sumber-sumber galian dan
pengeluaran bahan-bahan mentah pertanian bagi memenuhi permintaan yang tinggi
di England dan lain-lain negara Eropah berikutan dengan perkembangan Revolusi
Industri. Dasar ekonomi ekstraktif yang diamalkan oleh penjajah Inggeris
menyebabkan mereka memberi keutamaan kepada perlombongan hasil-hasil galian
terutama bijih timah dan pembukaan ladang-ladang getah seperti yang berlaku
secara besar-besaran di Selangor, Perak dan Negeri Sembilan. Bagi mencapai
matlamat dasar ekonomi ekstraktif ini, pihak Inggeris memberi galakan dan
perhatian terhadap kemasukan modal, institusi, teknologi dan kepakaran dari
Eropah di samping membawa masuk buruh-buruh Cina dan India secara besar-besaran
di negara ini.
Dasar dan amalan Inggeris
ini menyebabkan kaum bumiputera yang kebanyakannya tinggal di kawasan luar
bandar terus tersisih dan mundur berbanding dengan kaum-kaum imigran yang
kebanyakannya tinggal di bandar-bandar dan terlibat dalam sektor ekonomi moden.
Sebaliknya kaum bumiputera berada dalam sektor pertanian dan perikanan
tradisional dengan daya pengeluaran yang rendah. Penjajahan Inggeris telah
mengakibatkan perubahan sistem ekonomi feudal kepada sistem ekonomi semi-feudal
dan semi-kapitalis. Golongan pemerintah tradisional bumiputera kehilangan
kekuasaan ekonomi berikutan dengan hilangnya kekuasaan politik mereka ke tangan
pihak Inggeris. Justeru itu, pada masa penjajahan Inggeris, perkembangan dan
kegiatan-kegiatan ekonomi hanya tertumpu kepada keuntungan dan secara tidak
langsung menimbulkan masalah sosio-ekonomi dan politik di negara kita.
Perkembangan dan
kegiatan-kegiatan ekonomi yang hanya
tertumpu di kawasan yang mempunyai sumber-sumber kekayaan dan yang boleh
mendatangkan hasil yang banyak terutama sekali di sebelah barat Semenanjung.
Akibat daripada pertumbuhan ekonomi sedemikian, wujudlah apa yang disebut
sebagai dual economy. Ekonomi moden adalah pesat di Pantai Barat Semenanjung
seperti di ladang-ladang, lombong-lombong dan di bidang perdagangan, sebaliknya
ekonomi secukup hidup tradisional terdapat di kawasan luar bandar khususnya di
Pantai Timur yang kurang maju.
2.2. Dasar-Dasar
Selepas Merdeka
Selepas merdeka, kerajaan
telah memulakan usaha untuk merancang dan melaksanakan pembangunan negara
dengan lebih tersusun. Usaha ini dilakukan untuk mengatasi berbagai-bagai
masalah sosio ekonomi dan politik yang timbul ekoran kesan peninggalan
dasar-dasar pembangunan yang diamalkan oleh pihak penjajah. Tanggungjawab utama
kerajaan ialah untuk membangunkan negara agar hasilnya boleh dinikmati oleh
seluruh lapisan masyarakat tidak kira keturunan atau kaum tertentu.
Rancangan-rancangan
pembangunan lima tahun telah menjadi strategi utama pembangunan negara untuk
dilaksanakan secara berperingkat-peringkat. Program pembangunan ini dibuat bagi
memastikan seluruh rakyat menikmati kesejahteraan dan kemakmuran yang menjadi
matlamat dan hasrat negara merdeka. Tiap-tiap rancangan pembangunan lima tahun
mempunyai ciri-ciri dan kesinambungan dasar dan matlamat yang sama. Rancangan
tersebut adalah seperti berikut:
2.2.1. 1956-1960 Rancangan Malaya Pertama.
2.2.2. 1961-1965 Rancangan Malaya Kedua.
2.2.3. 1966-1970 Rancangan Malaysia Pertama.
2.2.4. 1971-1975 Rancangan Malaysia Kedua.
2.2.5. 1976-1980 Rancangan Malaysia Ketiga.
2.2.6. 1980-1985 Rancangan Malaysia Keempat.
2.2.7. 1986-1990 Rancangan Malaysia Kelima.
2.2.8. 1991-1995 Rancangan Malaysia Keenam.
2.2.9. 1996-2000 Rancangan Malaysia Ketujuh.
2.2.10.
2000-2015 Rancangan Malaysia Kelapan
2.2.11.
2016-sekarang Rancangan Malaysia Kesembilan
Rancangan ini menentukan
projek-projek yang perlu dijalankan, mengambil kira soal pembiayaan, dari dalam
dan luar negeri dan juga tentang keupayaan jentera pentadbiran melaksanakan
tugas-tugas pembangunan yang perlu dijalankan. Rancangan Malaya Pertama dan
Kedua telah menumpukan perhatian kepada pembinaan infrastruktur. Rancangan
Malaysia Pertama1 menitikberatkan pertumbuhan ekonomi dengan harapan
hasil-hasil pertumbuhan ini dapat dibahagikan kepada golongan yang miskin dan
kurang bernasib baik. Ia memberi tumpuan kepada pembangunan negara secara
menyeluruh meliputi semua bidang ekonomi. Skim-skim luar bandar diberi
perhatian dengan rancangan pembukaan tanah secara besar-besaran. Hasilnya taraf
hidup golongan miskin terutamanya masyarakat di luar bandar dapat
dipertingkatkan. Rancangan-rancangan pembangunan ini telah mendedahkan
kelemahan dari segi strategi dan penentuan andaian-andaian serta mewujudkan
suasana kemiskinan dan penguasaan ekonomi yang tidak seimbang di antara
kaum-kaum yang ada di negara kita. Keadaan ini telah di dapati mengancam
keselamatan dan perpaduan negara dengan tercetusnya Tragedi 13 Mei tahun 1969.
Tragedi 13 Mei 1969 telah
menyebabkan kerajaan menilai kedudukan perimbangan ekonomi antara kaum.
Kerajaan mendapati bahawa jurang perbezaan ekonomi antara kaum adalah terlalu
besar. Ini membuktikan bahawa penekanan yang diberi terhadap pertumbuhan
ekonomi semata-mata adalah tidak memadai untuk mengatasi sepenuhnya masalah
sosio-ekonomi yang tidak seimbang di antara kaum.2 Ia juga menunjukkan bahawa
sesuatu usaha pembangunan yang tidak mengambilkira dengan secukupnya keperluan
golongan miskin serta keadaan yang tidak seimbang antara kaum akan
mengakibatkan sebuah negara yang terbahagi kepada mereka yang menikmati dan
mereka yang tidak menikmati faedah pertumbuhan.3 Pembangunan negara seharusnya
mempunyai matlamat yang luas, mencakupi bidang keselamatan, perpaduan dan
mewujudkan satu masyarakat yang adil.
3. DASAR
EKONOMI BARU (DEB)
Dasar Ekonomi Baru adalah
satu formula yang dirancangkan oleh kerajaan untuk tempoh dua puluh tahun
bermula pada tahun 1971 dalam Rancangan Malaysia Kedua sehingga tahun 1990
dalam Rancangan Malaysia Kelima. Dasar ini adalah sebagai kesinambungan
rancangan-rancangan pembangunan yang lalu. Ia dibentuk untuk membetulkan
ketidakseimbangan sosio ekonomi yang wujud di antara kaum, wilayah dan kawasan
di Malaysia. Pelan induk untuk dasar ini dikenali sebagai Rangka Rancangan
Jangka Panjang (RRJP 1) 1971-1990.
DEB dilaksanakan melalui
strategi serampang dua mata, iaitu
(i) Mengurang
dan seterusnya membasmi kemiskinan dengan menambahkan pendapatan dan
memperbanyakkan peluang-peluang pekerjaan kepada semua rakyat tanpa mengira
keturunan dan kaum.
(ii) Mempercepatkan
proses penyusunan semula masyarakat Malaysia bagi membaiki ketidakseimbangan
ekonomi di antara kaum. Usaha ini diharap dapat mengurang dan seterusnya
menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi-fungsi ekonomi.
DEB bertujuan untuk
mewujudkan satu susunan sosio-ekonomi yang adil bagi rakyat Malaysia mencapai
perpaduan negara. Dalam tempoh tersebut, kerajaan berharap dapat mengurangkan
ketidakseimbangan di antara kaum Melayu dan bumiputera lain dengan kaum bukan
bumiputera dalam semua bidang. Ini kerana terdapat tanda-tanda menunjukkan
bahawa terlalu banyak kemiskinan dan ketaksamarataan yang dialami oleh orang
Melayu, merupakan sebab utama berlakunya perasaan tidak puas hati dan
menimbulkan masalah.4 Keadaan ini ternyata boleh menggugat kestabilan negara
sekiranya kemiskinan hanya tertumpu kepada sesuatu kaum sahaja. Banci pada
tahun 1970 menunjukkan bahawa sebanyak 49.3 peratus daripada semua keluarga di
Semenanjung Malaysia menerima pendapatan di bawah garis kemiskinan. Sejumlah 86
peratus daripada keluarga miskin tersebut berada di kawasan luar bandar,
sementara 14 peratus lagi di kawasan bandar. Kebanyakan penduduk-penduduk dari
luar bandar terdiri dari orang Melayu. Mereka lebih bertumpu dalam sektor
ekonomi yang paling mundur misalnya sebagai penanam padi, pekebun kecil getah
dan kelapa dan nelayan.5 Justeru itu, dasar ini dibentuk bagi membetulkan kedudukan
ketidakseimbangan sosio ekonomi yang wujud antara kaum. Untuk membasmi
kemiskinan, usaha-usaha yang dijalankan merangkumi:
(i) Mewujudkan
peluang-peluang pekerjaan di pelbagai sektor untuk diisi oleh semua kaum dan
ini boleh mengurangkan kadar pengangguran.
(ii) Mengurangkan
jurang perbezaan pendapatan antara kaum, antara kawasan dan antara wilayah.
(iii) Meningkatkan
produktiviti dan pendapatan dengan menambahkan kemudahan semua golongan miskin
di luar bandar mahupun di bandar, melalui peluang-peluang kemahiran, tanah,
modal dan lain-lain.
(iv) Memberi
peluang berpindah dari sektor yang rendah produktivitinya ke sektor yang lebih
lumayan.
(v) Memperbaiki
taraf dan kualiti kehidupan melalui pelajaran, latihan, kesihatan, kemudahan
infrastruktur dan lain-lain.
(vi) Mewujudkan
suasana pekerjaan yang menggambarkan komposisi kaum.
(vii)
Mewujudkan kumpulan perusahaan, perniagaan
dan perdagangan bumiputera.
(viii)
Memodenkan kehidupan luar bandar.
Penyusunan semula masyarakat
menjadi matlamat penting ekoran wujud ketidakseimbangan pembahagian tempat
tinggal, pekerjaan, pendapatan, pendidikan, kemudahan sosial, kesihatan,
pengangkutan dan perhubungan dan pemilikan harta benda serta mutu dan taraf
kehidupan pelbagai kaum. Oleh itu, DEB menetapkan beberpa program di dalam
beberapa sektor ekonomi seperti perdagangan, perindustrian, pertanian,
perlombongan, pembinaan, pengangkutan, perumahan dan pelajaran. Setiap kaum
akan mendapat faedah dan pembahagian yang adil.
Adalah diharapkan menjelang
tahun 1990, pemilikan saham dan ekonomi negara akan melambangkan komposisi
kepentingan kaum dengan kadar 40:30:30, iaitu penyertaan bumiputera sebanyak 30
peratus, bukan bumiputera 40 peratus, manakala pelabur luar negara pula
sebanyak 30 peratus. Antara strategi pentingnya ialah:
(i) Membentuk
sebuah masyarakat perdagangan dan perindustrian di kalangan orang Melayu dan
golongan bumiputera agar mereka mampu memiliki 30 peratus ekonomi menjelang
tahun 1990.
(ii) Menubuhkan
agensi-agensi pembangunan seperti MARA, Bank Bumiputera, Bank Pembangunan dan
Amanah Saham Nasional bertujuan membantu penyertaan bumiputera dalam bidang
perdagangan dan bagi memajukan wilayah-wilayah, agensi-agensi yang ditubuhkan
ialah seperti DARA, KEJORA, KESEDAR, JENGKA dan lain-lain.
(iii) Mempertingkatkan
pertumbuhan ekonomi keseluruhannya supaya kedudukan tenaga buruh menggambarkan
bilangan kaum menjelang tahun 1990.
(iv) Meningkatkan
daya pengeluaran dan taraf kehidupan golongan miskin melalui kegiatan-kegiatan
pembangunan dan pemodenan kawasan luar bandar.
(v) Menambahkan
bahagian rakyat tempatan dalam pemilikan modal pada stok syarikat dan dalam
pertumbuhan ekonomi.
Selama dua dekad, strategi
pembangunan yang terdapat di dalam DEB cuba memberikan faedah kepada rakyat
dari pelbagai lapisan masyarakat. Matlamat dasar ini untuk mencapai perpaduan
negara berdasarkan program pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula
masyarakat di dapati hampir berjaya. Ekonomi negara telah mengalami perubahan
pesat dan menghasilkan kedudukan yang lebih seimbang di antara sektor
pertanian, perkhidmatan dan perindustrian. Manakala dari segi kemajuan ekonomi
pula, rakyat telah memperolehi kemajuan sosio-ekonomi dengan menikmati taraf
hidup yang lebih tinggi dan pengagihan pendapatan yang lebih baik.
Apabila tempoh Rangka
Rancangan Jangka Panjang Pertama (RRJP 1) dan DEB tamat pada tahun 1990,
kerajaan menggubal pula Dasar Pembangunan Negara (DPN) yang termasuk di dalam
Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua (RRJP 2) meliputi tempoh masa antara
1991-2000. DPN digubal berlandaskan Wawasan 2020 untuk menjadikan Malaysia
sebagai sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Tumpuan DPN adalah kepada
beberapa kelemahan prestasi pencapaian dasar sebelumnya. Ia melibatkan tambahan
beberapa dimensi merangkumi isu-isu pembangunan sumber manusia, menjadikan
sains dan teknologi sebagai teras penting dalam perancangan dan pembangunan
sosioekonomi, dan perlindungan alam sekitar dan ekologi.6 Di samping itu,
matlamat-matlamat DEB untuk mencapai pembangunan seimbang dan pertumbuhan
dengan pengagihan yang saksama masih dikekalkan.
4. DASAR
PELAJARAN KEBANGSAAN (DPK)
Dasar Pelajaran Kebangsaan
(DPK) yang termaktub dalam Akta Pelajaran 1961, adalah berasaskan kepada
Laporan Razak dan Laporan Rahman Talib. Matlamat utama dasar ini ialah untuk
mencapai perpaduan negara yang merangkumi
aspek-aspek sosio ekonomi dan politik. DPK lahir berasaskan kesedaran para
pemimpin negara yang menyedari perlunya diwujudkan satu sistem pendidikan
kebangsaan bagi menggantikan sistem pendidikan yang diwarisi dari zaman
penjajah.
Pada zaman British, tidak
ada satu dasar pelajaran yang sejajar dengan tujuan dan matlamat yang tetap,
sekolah-sekolah berbilang bahasa dapat berkembang mengikut kehendak-kehendak
kumpulan etnik. Akibatnya wujud lima jenis sistem persekolahan yang sama sekali
terasing di antara satu dengan yang lain iaitu sekolah Melayu, sekolah
Inggeris, sekolah Cina, sekolah Tamil di samping sekolah Agama.
Selepas merdeka, kerajaan
memberikan perhatian utama terhadap bidang pendidikan dalam membangunkan
negara. Antara tujuan program pendidikan adalah untuk melahirkan insan yang
seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan
kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Dengan itu, ciri-ciri rakyat Malaysia
yang berilmu pengetahuan, bertanggungjawab, berakhlak, berketrampilan dan
sebagainya akan dapat dilahirkan untuk memberi sumbangan kepada masyarakat dan
negara.
Sebelum Laporan Razak 1956
disyorkan, terdapat beberapa laporan atau penyata utama yang mengemukakan syor
ke arah satu sistem pelajaran kebangsaan.
4.1
Penyata Barnes 1950
Berdasarkan laporan
jawatankuasa yang dipengerusikan oleh L.J. Barnes, beberapa cadangan telah
dikemukakan iaitu:
(i) Penubuhan
satu corak sekolah rendah - Sekolah Kebangsaan dibuka kepada murid daripada
semua bangsa dan diajar oleh guru-guru pelbagai bangsa dan keturunan.
(ii) Memansuhkan
sekolah rendah vernakular yang berbeza-beza mengikut kaum.
(iii) Bahasa
Melayu dijadikan sebagai bahasa pengantar utama, manakala bahasa Inggeris
sebagai bahasa kedua. Tempoh persekolahan juga diseragamkan, iaitu selama enam
tahun. Persekolahan percuma diberikan kepada semua murid.
Berdasarkan cadangan yang
dikemukakan, ternyata jawatankuasa ini berhasrat untuk mengadakan sebuah
sekolah bilingual iaitu aliran Melayu dan Inggeris sebagai langkah bagi memupuk
integrasi di antara kaum di Tanah Melayu. Penyata Barnes dianggap sebagai
laporan yang paling komprehensif dan berpengaruh sekali pernah diterbitkan.
Walau bagaimanapun, Penyata ini tidak berjaya memenuhi kehendak dan aspirasi
masyarakat negara ini keseluruhannya.
4.2 Penyata Fenn-Wu 1951
Sehubungan dengan itu, dua
orang pakar bahasa dan kebudayaan Cina, Dr. William Fenn iaitu ahli akademik
dari China dan Dr. Wu Teh Yao, seorang pegawai dari Pertubuhan Bangsa-bangsa
Bersatu telah diminta untuk mengkaji sistem dan pelaksanaan sekolah Cina.
Penyata Fenn-Wu telah mengemukakan cadangan pada asasnya:
(i) Menyokong
konsep penggunaan tiga bahasa iaitu, bahasa Melayu, bahasa Cina dan bahasa
Inggeris dijadikan bahasa pengantar dan persediaan buku-buku teks.
(ii) Menyokong
pembentukan sistem pendidikan kebangsaan, sekolah Cina diteruskan secara
berasingan dan haruslah berorientasikan Tanah Melayu.
Penyata ini kemudian dikaji
dengan lebih mendalam dan akhirnya meluluskan Ordinan Pelajaran 1952 dengan
menyediakan dua jenis sekolah kebangsaan, satu menggunakan bahasa pengantar
Melayu manakala satu lagi menggunakan bahasa pengantar Inggeris. Manakala
sekolah Cina dan Tamil tidak termasuk dalam sistem pelajaran kebangsaan. Namun
Ordinan ini tidak dapat dilaksanakan berikutan kemelesetan ekonomi yang melanda
negara ketika itu.
4.3 Penyata Razak 1956
Berikutan dengan kemenangan
dalam Pilihanraya tahun 1955, satu jawatankuasa telah dibentuk oleh Kerajaan
Perikatan yang dipengerusikan oleh Tun
Abdul Razak. Tujuan jawatankuasa ini dibentuk ialah untuk mengkaji dan menilai
sistem pendidikan yang sedia ada dan mengemukakan syor-syor yang sesuai bagi
mewujudkan satu dasar pelajaran yang boleh diterima oleh semua pihak. Penyata
Razak mencadangkan dua perkara utama yang menjadi teras pembangunan pendidikan,
iaitu
(i) Setiap
kanak-kanak diberi peluang mendapat pelajaran.
(ii) Mewujudkan
satu sistem pendidikan bagi membentuk masyarakat yang bersatu padu.
Penyata ini mengutamakan
unsur-unsur dan nilai-nilai perpaduan negara sebagai satu matlamat yang perlu
dicapai untuk menjamin kesejahteraan dan kepentingan masyarakat majmuk di
negara ini. Penyata Razak telah menyatakan:
Tujuan dasar pelajaran di
dalam negeri ini ialah bermaksud hendak menyatukan budak-budak daripada semua
bangsa di dalam negeri ini dengan memakai satu peraturan pelajaran yang
meliputi semua bangsa dengan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa
pengantar yang besar, walaupun perkara ini tidak dapat dilaksanakan dengan
serta merta melainkan hendaklah diperbuat dengan beransur-ansur.7
Jelas bahawa Penyata Razak
menandakan bermulanya usaha-usaha untuk menyatukan sistem pendidikan di negara
kita. Laporan ini juga telah mengesyorkan agar bahasa Melayu dijadikan sebagai
bahasa kebangsaan. Ini adalah merupakan satu usaha yang baik untuk
menyatupadukan masyarakat berbilang kaum dan juga membentuk identiti
kebangsaan. Cadangan yang dikemukakan oleh Penyata Razak diluluskan menjadi
Ordinan Pelajaran tahun 1957. Ordinan Pelajaran ini mewajibkan kurikulum
sekolah yang sama kandungannya dan bercorak kebangsaan.
Pada tahun 1959, satu
Jawatankuasa Penyemak Pelajaran ditubuhkan untuk mengkaji semula pelaksanaan
sistem pelajaran yang dicadangkan oleh Laporan Razak. Ini memandangkan timbul
bantahan dan rasa tidak puas hati rakyat berbilang kaum di Tanah Melayu. Contohnya
di kalangan guru sekolah Melayu yang tidak puas hati kerana tiada ketegasan
dalam pelaksanaan bahasa kebangsaan. Selain itu, Persatuan Guru-guru Sekolah
Cina yang berpendapat sebahagian daripada Penyata Razak mengabaikan kepentingan
pendidikan, bahasa dan kebudayaan Cina. Abdul Rahman Talib yang menjadi Menteri
Pelajaran ketika itu telah mengetuai jawatankuasa yang kemudiannya telah
menghasilkan satu laporan yang dikenali sebagai Penyata Rahman Talib.
4.4 Penyata Rahman Talib (1960)
Penyata Rahman Talib
mempunyai ciri-ciri seperti berikut, iaitu:
(i) Pelaksanaan
pelajaran rendah percuma selama sembilan tahun;
(ii) Kenaikan
darjah secara automatik dari darjah satu hingga tingkatan tiga;
(iii) Peperiksaan
penilaian sekolah rendah;
(iv) Peluasan
pelajaran teknik dan vokasional; dan
(v) Pengalihan
bahasa pengantar.
Seterusnya laporan ini
berpendapat bahawa sistem pelajaran telah dilaksanakan dengan berkesan,
mengikut syor-syor Laporan Razak dan patut diteruskan. Cadangan yang dikemukan
oleh Laporan Rahman Talib berikutnya dimaktubkan menjadi Akta Pelajaran 1961.
Secara umumnya, Penyata
Razak dan Penyata Rahman Talib menitikberatkan aspek-aspek yang berkaitan
dengan perpaduan negara dan penghasilan tenaga rakyat. Oleh kerana masyarakat
Malaysia merupakan masyarakat majmuk, maka konsep perpaduan dalam konteks
negara ini perlu difahami sebagai satu proses yang mengutamakan perpaduan
masyarakat berbilang kaum.8 Perpaduan yang diwujudkan mestilah berupaya
menangkis gejala-gejala seperti perkauman, keturunan, agama, bahasa, perasaan
kedaerahan dan sebagainya.
Pada tahun 1974, sebuah
jawatankuasa kabinet ditubuhkan untuk mengkaji semula dasar pelajaran
kebangsaan. Ia juga bertujuan untuk memperbaiki perlaksanaan dasar tersebut
agar selaras dengan keperluan semasa negara khasnya dalam memenuhi keperluan
tenaga kerja untuk pembangunan negara, pembinaan identiti kebangsaan dan
perpaduan negara. Laporan jawatankuasa kebinet itu kemudiannya diterbitkan pada
tahun 1979.9
Berdasarkan kajian tersebut,
beberapa perubahan telah dibuat bagi memperkemaskan lagi sistem pendidikan
kebangsaan selaras dengan keperluan pembangunan negara. Beberapa strategi telah
diambil untuk mencapai matlamat dasar pendidikan, iaitu
(i) Menjadikan
Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar yang utama.
(ii) Mengadakan
kurikulum yang sama dan berorientasikan Malaysia bagi semua jenis sekolah.
(iii) Mewujudkan
sistem peperiksaan yang sama bagi semua.
(iv) Melicinkan
tatacara pengurusan pendidikan.
(v) Meningkatkan
mutu pendidikan keseluruhannya dengan menyediakan pendidikan yang menyeluruh,
seimbang dan bersepadu.
(vi) Mengadakan
peluang pendidikan asas selama sembilan tahun.
(vii)
Mendemokrasikan pendidikan dari segi peluang
dan mutu dengan mengagihkan peruntukan secara adil dan memberi perhatian khas
kepada kumpulan yang kurang bernasib baik dan kawasan luar bandar.
(viii)
Memperkenalkan pendidikan rendah mengikut
Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) yang berasaskan 3M iaitu Menulis, Membaca
dan Mengira.
(ix) Memperluaskan
pendidikan teknik dan vokasional.
(x) Mempelbagaikan
kemudahan pendidikan di peringkat universiti, terutamanya dalam bidang sastera
gunaan dan sains gunaan.
(xi) Mempertingkatkan
pendidikan kerohanian, moral dan disiplin.
(xii)
Menjadikan Bahasa Kebangsaan dan Bahasa
Inggeris sebagai mata pelajaran yang wajib diajar di sekolah-sekolah dan memberi
peluang yang sempurna bagi pembelajaran bahasa-bahasa lain seperti Bahasa Cina
dan Bahasa Tamil.
(xiii)
Menggalakkan kegiatan ko-kurikulum yang dapat
memupuk disiplin seperti pasukan kadet tentera, polis, pengakap dan bomba.
DPK juga dilaksanakan dengan
mengada dan memperkembangkan tenaga pengajar yang terlatih di samping
mendirikan sekolah-sekolah selaras dengan pertambahan kanak-kanak.
Strategi-strategi yang dikemukakan adalah bermatlamat untuk meningkatkan mutu
pelajaran secara keseluruhannya.
5. DASAR
KEBUDAYAAN KEBANGSAAN (DKK)
Sebagai sebuah negara yang
mempunyai masyarakat yang berbilang kaum, Malaysia memerlukan satu dasar
kebudayaan kebangsaan bagi mencerminkan keperibadian negara. Dasar ini menjadi
garis panduan dalam membentuk, mewujud dan mengekalkan identiti Malaysia di
peringkat antarabangsa.
Berasaskan kesedaran
tersebut, kerajaan telah menggubal satu dasar kebudayaan kebangsaan dengan
mengambil kira latar belakang sejarah dan kedudukan negara ini sebagai pusat
tamadun, serta pertemuan dan perdagangan sejak dua ribu tahun yang lampau.
Peranannya sebagai pusat pertemuan telah menyebabkan berlakunya proses
interaksi, pengenalan, penyerapan dan penerimaan pelbagai unsur budaya.
Tambahan pula dengan kedudukannya yang strategik, menjadi tumpuan dan penyerapan
pelbagai unsur kebudayaan yang sesuai dengan kebudayaan asal rantau ini.
Kebudayaan kebangsaan hendaklah mempunyai tiga sifat berikut:
(i) Unsur-unsur
kebudayaan mestilah dapat diterima oleh semua komuniti.
(ii) Apa
juga asal usulnya mestilah menggambarkan ciri-ciri yang mudah dikenali sebagai
sebahagian dari keadaan tempatan.
(iii) Tidak
boleh membawa kesan yang buruk dalam apa juga cara terhadap nilai-nilai asas
yang menjadi pendukung kepada unsur-unsur lain.
Berdasarkan Kongres
Kebudayaan Kebangsaan, pada tahun 1971, tiga prinsip telah dijadikan asas ke
arah pembentukan kebudayaan kebangsaan dan sebagai satu proses yang berterusan.
Prinsip-prinsip itu ialah:
(i) Berteraskan
kepada kebudayaan rakyat asal rantau ini. Budaya Melayu merupakan cara hidup,
lambang identiti dan asas ukuran keperibadian kepada hampir 200 juta umat
manusia yang mendiami rantau ini11 sejak berabad lamanya. Jadi wajarlah
kebudayaan rakyat rantau ini dijadikan teras kepada kebudayan kebangsaan
Malaysia.
(ii) Unsur-unsur
kebudayaan lain yang sesuai dan wajar boleh diterima. Prinsip ini bertepatan
dengan suasana masyarakat berbilang kaum dan mewarisi pelbagai budaya.
Kebudayaan sebagai sesuatu yang dinamik sifatnya, sentiasa berubah dan diwarisi
dari satu generasi ke generasi berikutnya melalui proses penyerapan dan
penyesuaian secara berterusan.12 Oleh itu, unsur-unsur budaya Cina, India dan
Arab dan lain-lain yang sesuai diterima dalam pembentukan kebudayaan
kebangsaan. Kesesuaian ini bergantung sekiranya ia tidak bercanggah dengan
Perlembagaan dan prinsip-prinsip Rukunegara dan asas-asas moral dan kerohanian
sejagat, serta Islam sebagai agama rasmi negara.
(iii) Islam
menjadi unsur penting dalam pembentukan kebudayaan kebangsaan. Penerimaan
unsur-unsur Islam adalah sesuai dengan perkembangan sejarah negara ini yang
menerima kedatangan Islam sejak 600 tahun yang lampau dan menjadi agama anutan
sebahagian besar umat di rantau ini. Justeru itu, adalah wajar nilai-nilai
Islam dijadikan unsur penting dalam pembentukan kebudayaan kebangsaan.
Pembentukan kebudayaan
kebangsaan adalah diperlukan bagi mewujudkan sebuah negara yang stabil dan
bersatu padu khususnya bagi sebuah negara membangun dan yang terdiri daripada
berbagai-bagai kaum seperti Malaysia. Pada asasnya, pembentukan kebudayaan kebangsaan
mempunyai tiga objektif berikut:
(i) Mengukuhkan
perpaduan bangsa dan negara melalui kebudayaan.
(ii) Mempupuk
dan memelihara keperibadian kebangsaan yang lahir dari kebudayaan kebangsaan.
(iii) Memperkaya
dan mempertingkatkan kualiti kehidupan kemanusiaan dan kerohanian yang seimbang
dengan aspek pembangunan sosio ekonomi.
Objektif dasar ini boleh
dicapai melalui strategi-strategi berikut:
(i) Pemulihan,
pemeliharaan dan pembangunan kebudayaan ke arah menguatkan asas-asas kebudayaan
kebangsaan melalui usahasama penyelidikan, pembangunan, pendidikan,
pengembangan dan perhubungan budaya;
(ii) Meningkat
dan memperkukuhkan kepimpinan budaya melalui usaha-usaha membimbing dan melatih
peminat, mendokong dan menggerak kebudayaan seluas-luasnya sebagai jentera
pembangunan yang berkesan;
(iii) Mewujudkan
komunikasi yang berkesan ke arah kesedaran kebangsaan, kenegaraan dan
nasionalisme;
(iv) Memenuhi
keperluan sosiobudaya; dan
(v) Meninggikan
taraf dan mutu kesenian.
Beberapa pihak telah
terlibat sebagai penggerak ke arah pelaksanaan dasar ini. Kementerian
Kebudayaan Kesenian dan Pelancongan merupakan pihak yang berkuasa dalam hal ini
dan usaha mereka tidak akan berjaya tanpa kerjasama badan-badan lain termasuk
kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan Kerajaan Pusat, Kerajaan-kerajaan
Negeri, badan-badan berkanun dan pihak swasta serta pertubuhan-pertubuhan
kebudayaan dan kesenian.
6. WAWASAN
2020
Pada 28 Februari 1991,
Perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad telah membentangkan
satu kertas kerja bertajuk “Malaysia: The Way Forward” di Majlis pelancaran
Malaysian Business Council.13 Kertas kerja ini mengandungi satu rangka kerja
mengenai matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara maju pada tahun 2020 - dikenali
sebagai “Wawasan 2020”.
Sebenarnya Wawasan 2020
bukanlah merupakan sebuah dasar khas, sebagaimana dasar-dasar lain yang
dibincangkan sebelum ini. Ia merupakan suatu tindakbalas kepada perkembangan
ekonomi, sosial dan politik yang berlaku di peringkat nasional dan antarabangsa
yang telah memberi cabaran hebat kepada negara. Wawasan 2020 wajar dibincangkan
di sini kerana ia berkaitan rapat dengan usaha kerajaan untuk membangunkan dan
mencapai taraf sebuah negara maju.
Wawasan 2020 menekankan
sembilan bentuk cabaran yang perlu dihadapi oleh rakyat Malaysia, iaitu
(i) Membentuk
sebuah negara bangsa yang bersatu padu serta menyanjung masa hadapan yang
dikongsi bersama. Bangsa itu mestilah sejahtera, terintegrasi wilayah-wilayah
dan kelompok etniknya, menikmati kehidupan bersama yang sepenuhnya berasaskan
persamaan hak dan keadilan, membentuk sebuah “Bangsa Malaysia” dengan rasa taat
setia dan pengabdian yang tidak berbelah bagi terhadap bangsa tersebut.
(ii) Melahirkan
sebuah masyarakat Malaysia yang bebas, teguh dan terbentuk jiwanya, yakin akan
dirinya sendiri, bangga akan keadaannya kini dan segala sesuatu yang telah
dicapainya, dan cukup tangkas untuk menghadapi segala macam rintangan.
Masyarakat Malaysia itu mestilah mempunyai sifat-sifat mengejar kecemerlangan,
benar-benar menyedari segala kemungkinan dirinya, tidak terkongkong jiwanya,
dan dihormati pula oleh bangsa lain.
(iii) Membentuk
dan memperkembangkan sebuah masyarakat demokratis yang matang, yang mengamalkan
sesuatu bentuk demokrasi Malaysia yang unggul, berasaskan muafakat dan
musyawarah, dan boleh dicontohi oleh negara-negara membangun lain.
(iv) Membentuk
sebuah masyarakat yang kukuh ciri-ciri moral dan etikanya, dengan para warganya
mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh, dan ditunjangi oleh budi
pekerti yang luhur.
(v) Membentuk
sebuah masyarakat yang matang yang bersifat toleran, dengan setiap warga bangsa
Malaysia, tanpa mengira keturunan mahupun kepercayaannya, bebas mengamalkan dan
melaksanakan adat resam, kebudayaan serta kepercayaan agamanya masing-masing,
tanpa merasa tersisih daripada bangsa tersebut.
(vi) Membentuk
sebuah masyarakat yang bersifat sains serta progresif, berdaya cipta dan
berpandangan jauh ke hari muka, iaitu sebuah masyarakat yang bukan sahaja dapat
memanfaatkan teknologi kini tetapi turut menjadi penyumbang terhadap
pembentukan peradaban sains dan teknologi pada masa hadapan.
(vii)
Membentuk sebuah masyarakat berbudi dan
berbudaya penyayang, sebuah sistem sosial yang lebih mementingkan masyarakat
daripada diri sendiri, dengan kebajikan rakyat tidak diasaskan pada negara
mahupun individu tetapi pada sistem kekeluargaan yang kukuh lagi mantap.
(viii)
Menjamin terbentuknya sebuah masyarakat yang
adil ekonominya. Masyarakat itu akan menjamin pengagihan kekayaan negara secara
adil lagi saksama, dengan kemajuan ekonominya dinikmati bersama oleh setiap
rakyat. Masyarakat yang demikian tidak akan terbentuk selaga terdapat penentuan
fungsi ekonomi berdasarkan kaum dan pemusatan kemunduran ekonomi kepada
kelompok-kelompok kaum yang tertentu.
(ix) Membentuk
sebuah masyarakat yang makmur, dengan ekonomi yang mampu menghadapi persaingan,
bersifat dinamis, tangkas dan mempunyai daya ketahanan.15
Cabaran-cabaran di atas
telah membangkitkan beberapa isu utama yang harus dihadapi bagi membolehkan
Malaysia mencapai taraf negara maju. Isu-isu berkenaan termasuklah:
(i) Pembentukan
Satu Negara Bangsa Malaysia. Rakyat di negara ini tidak lagi diidentifikasikan
melalui kaum, keturunan atau warna kulit. Bagi membentuk satu negara bangsa
Malaysia, beberapa istilah tertentu seperti perpaduan kaum, kesetiaan kepada
negara, keharmonian dan toleransi perlu difahami dan diamalkan.
(ii) Negara
Perindustrian. Mengubah corak ekonomi dari negara pertanian kepada
perindustrian bagi mencapai status sebagai negara maju. Ini bermakna, rakyat
harus bersedia bukan sahaja dalam proses perubahan dari kehidupan bertani
kepada perindustrian, tetapi juga perubahan dalam teknologi, ekonomi, sosial
dan kebudayaan.
(iii) Moral
dan Etika. Berlainan dengan konsep negara maju yang lebih bercirikan kebendaan,
negara maju ala-Malaysia berpegang kepada falsafah moral dan etika yang
berasaskan kepercayaan agama. Tanpa nilai-nilai ini, kesejahteraan dan
keharmonian yang wujud tidak akan berkekalan, sebaliknya membawa keburukan.
(iv) Keadilan
Ekonomi dan Sosial. Aspek ini merupakan penegasan semula ke atas isu-isu yang
menjadi perhatian utama seperti pembasmian kemiskinan dan keseimbangan
sosio-ekonomi di antara kaum, di antara wilayah, di antara negeri dan di antara
bandar dan luar bandar. Wawasan 2020 meminta semua rakyat Malaysia tidak
membuat tafsiran salah terhadap bantuan yang diberi kepada sesuatu kaum
tertentu. Sebaliknya ia merupakan usaha bagi membaiki ketidakseimbangan yang
wujud dalam masyarakat.
(v) Pembangunan
Masyarakat Berdasarkan Sistem Kekeluargaan. Hakikat bahawa keluarga adalah asas
pembentukan masyarakat dan masyarakat menjadi asas pembinaan negara tidak
dinafikan. Ini bermaksud, kekuatan dan kemajuan sesebuah negara terletak pada
keluarga dan masyarakat. Dengan itu, nilai dan cara hidup (seperti masyarakat
penyayang) perlulah dibentuk pada peringkat awal lagi iaitu melalui institusi
keluarga.
7. KESIMPULAN
Dasar-dasar kerajaan digubal
dan dilaksanakan selaras dengan nilai-nilai sosio-ekonomi dan politik negara
pada satu-satu masa. Oleh kerana sifatnya yang dinamik, maka dasar-dasar
kerajaan sentiasa berubah-ubah mengikut nilai-nilai masyarakat dan pucuk
pimpinan dari semasa ke semasa. Selepas tercetusnya Tragedi 13 Mei, segala
dasar yang digubal khususnya pada awal tahun 1970an, adalah berteraskan DEB
sebagai dasar induk yang bertujuan untuk mencapai perpaduan negara. Pada masa
kini dasar-dasar kerajaan adalah berteraskan Wawasan 2020 sebagai memenuhi
hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang tahun
2020. Namun prinsip-prinsip asas dasar-dasar berkenaan tetap kekal seperti
asal. Apa yang beza adalah pendekatan kerana ia perlu disesuaikan dengan
perubahan masa.
Harrah's Cherokee Casino & Hotel - MapYRO
ReplyDeleteFind Harrah's Cherokee 사천 출장마사지 Casino 하남 출장마사지 & Hotel in 천안 출장마사지 Murphy, NC and other Murphy, North Carolina 거제 출장안마 real estate. Get directions, reviews and 영천 출장마사지 information for